BAJET 2010 BERTERASKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT – MB PERAK

Tuesday, December 1, 2009 1:49
Posted in category Utama

Sumber ini di ambil daripada www.perak.gov.my

yab-menteri-besar-perak-menerangkan-mengenai-bajet-2010-pada-sidang-akhbar-di-pejabatnya

IPOH, 28 OKTOBER 09 – Menteri Besar Perak, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir membentangkan Bajet 2010 Negeri Perak berjumlah RM739.58 juta dengan defisit diunjurkan berjumlah RM23 juta pada persidangan Dewan Undangan Negeri. Beliau berkata keadaan bajet defisit itu tidak dapat dielakkan kerana hasil yang dianggarkan tidak dapat menampung perbelanjaan yang semakin meningkat namun kadar defisit itu berkurangan berbanding defisit RM25 juta pada Bajet 2009.

Bajet 2010 keseluruhannya berjumlah RM739.58 juta dan daripada jumlah itu sebanyak RM560.58 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM179 juta bagi tujuan pembangunan, katanya ketika membentangkan bajet itu.Peruntukan RM179 juta bagi perbelanjaan pembangunan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk merealisasikan transformasi yang meletakkan kepentingan rakyat di mercu keutamaan tanpa mengira batas kaum dan politik, jelasnya.Katanya kerajaan negeri komited untuk mencari sumber baru bagi meningkatkan hasil negeri dengan mengariskan lima strategi, antaranya mempelbagaikan kaedah dan usaha yang berterusan, menggerakkan dan meneruskan aktiviti pembangunan sebagai penjana utama ekonomi negeri, menjadi negeri yang membela rakyat dan meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan setiap rakyat. Jelasnya sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi tujuan program pembasmian kemiskinan yang mana sebanyak RM2 juta bagi membaik pulih rumah, RM4 juta bagi program membasmi kemiskinan mengikut pendekatan dan modul yang berjaya dilaksanakan dan RM1 juta bagi Yayasan Bina Budi. “Kerajaan negeri juga bersetuju untuk membayar elaun bulanan kepada bilal dan siak yang mana sebelum ini mereka hanya diberi bonus tahunan sahaja. Peruntukan sebanyak RM5.99 juta telah disediakan bagi menampung pembayaran tersebut melibatkan seramai 2,496 orang bilal dan siak,” katanya. Katanya selain itu insurans perlindungan takaful berkonsepkan Tabaruk berjumlah RM4 juta disediakan untuk golongan warga emas, ibu dan bapa tunggal, golongan miskin dan orang kurang upaya. Selain itu kebajikan rakyat bukan beragama Islam juga disediakan dengan kerajaan negeri menyediakan RM3.5 juta bagi aktiviti mereka dan daripada jumlah itu sebanyak RM500,000 dikhususkan untuk kaum Sikh manakala peruntukan khas sebanyak RM1juta disediakan untuk masyarakat Orang Asli. “Menyedari terdapat sebilangan anak-anak kaum India yang mengalami himpitan miskin tegar untuk meneruskan pelajaran mereka, maka dicadangkan penubuhan Tabung Khas Pendidikan Anak-Anak Kaum India. Bagi tujuan ini peruntukan RM1 juta disediakan dan tabung ini akan dikendalikan oleh Yayasan Perak,” katanya. Beliau berkata kerajaan negeri juga prihatin terhadap pengurusan sekolah persendirian Cina (SUWA) dan bersetuju menyumbangkan RM400,000 setahun bagi setiap sekolah melibatkan sembilan sekolah. Selain itu peruntukan RM1 juta disediakan bagi menampung perbelanjaan pembayaran elaun kepada guru yang mengajar subjek agama dan Al-Quran di Sekolah Agama Rakyat di negeri ini. “Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mewujudkan Maahad Tahfiz di setiap daerah. Sebagai permulaan, peruntukan sebanyak RM1 juta bagi mewujudkan Maahad Tahfiz di Manjung. Pembangunan Maahad Tahfiz di daerah lain akan dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh,” katanya. Beliau berkata sejumlah RM4.68 juta diperuntukan bagi sumbangan tambahan kerajaan negeri kepada elaun guru kelas Kafa daripada RM75 sebulan kepada RM200 melibatkan sebanyak 3,120 guru mulai Januari 2010. Kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa dan sumbangan pemandu yang bertugas tanpa mengira waktu.

Sebagai tanda penghargaan dan prihatin ke atas mereka, kerajaan negeri bersetuju memberikan perlindungan insurans berkelompok kepada 600 pemandu di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Peruntukan RM3 juta turut disediakan bagi membangunkan taman asuhan kanak-kanak di semua pejabat kerajaan bagi menghargai sumbangan warga perkhidmatan awam.

yab-dato-seri-dr-zambry-abd-kadir-ketika-membentangkan-bajet-negeri-perak-2010

Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika membentangkan bajet Negeri Perak 2010

pihak-polis-melakukan-pemeriksaan-keselamatan-kepada-petugas-media-sebelum-masuk-ke-dewan-undangan-negeri-perak

Pihak polis melakukan pemeriksaan keselamatan kepada petugas media sebelum masuk ke Dewan Undangan Negeri Perak

  • Share/Bookmark
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Spam Protection by WP-SpamFree