SIAPA MB PERAK YANG SAH:PERBICARAAN SELESAI,KEPUTUSAN DI UMUM TARIKH LAIN
Saturday, November 7, 2009 20:22Jam 6.10 petang 5 November 2009, berakhirlah pendengaran hujah oleh kedua-dua belah pihak. Mahkamah ditangguhkan dan keputusan akan diumumkan pada suatu tarikh yang akan ditentukan. Rayuan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam menentukan kedudukan Menteri Besar Perak yang sah hari ini telah didengarkan di hadapan lima panel hakim. Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong. Dalam pada itu permohonan Datuk Seri Nizar supaya kes ini didengar oleh 11 hakim ditolak oleh mahkamah. Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata ia diputuskan sebulat suara dan tiada perintah dibuat mengenai kosnya. Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mewakili Nizar, sebelum itu berhujah bahawa panel 11 hakim itu penting kerana kes itu membabitkan kepentingan awam dan banyak implikasinya. Katanya, ia juga memberi kesan pada semua negeri dan serta Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, katanya, seluruh dunia sedang mengikuti kes tersebut, termasuk para akademik dan orang awam “kerana ini adalah satu kes yang unik”. Dalam hujahnya, Ambiga juga memetik dari buku ‘May Day for Justice’ tulisan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas mengenai krisis Umno pada 1987. Salleh menulis bahawa dengan kehadiran semua hakim, maka ia boleh mengikis sebarang tanggapan berlaku berat sebelah di pihaknya.
Sementara itu, Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim yang turut berada dalam kamar mahkamah melaporkan sesuatu yang janggal dalam kes kali ini. Menurutnya, kes pembicaraan MB Perak di Mahkamah Rayuan pada Mei lepas di tempat yang sama dengan Mahkamah Persekutuan hari ini, Keduanya di Istana Keadilan cuma bezanya tingkat satu dan dua sahaja. Pada dasarnya kehadiran ramai wartawan dan penyokong Pakatan Rakyat tidak dapat dinafikan pada kedua-dua pembicaraan itu.
“Namun pada hari ini yang tidak kelihatan ialah ADUN-ADUN BN, seorangpun tidak hadir. Seingat saya pada 22 Mei semasa mahkamah ingin memutuskan Zambry sebagai MB Perak saya melihat ada ADUN dari BN yang hadir disamping mereka yang kalah dalam pilihanraya yang lepas. Antaranya ADUN Manjoi dan ADUN Sungai Rapat.
“Hari ini seorangpun dari mereka tidak kelihatan. Cuma pada sesi pagi yang jelas mewakili Umno hanyalah Hamdan Taha dan kawan-kawannya yang datang. Mereka tidak ada apa-apa jawatan dalam Umno cuma yang pasti ada kepentingan,”jelasnya melalui catatan blog peribadinya.
Tambahnya,”keadaan ini menimbulkan banyak persoalan, adakah mereka sudah tahu keputusan awal sehingga seorangpun tidak kelihatan didalam kamar bicara. Yang jelas panel peguam sahaja yang mewakili Zambry termasuklah peguam pencelah, Ghani Patail.
Dewan Pemuda PAS Perak serta seluruh rakyat mendoakan agar keputusan hakim tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ini penting bagi menjamin keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan keadilan negara Malaysia.


