ISIUKM gesa selesai segera krisis politik Perak

Wednesday, May 13, 2009 20:04
Posted in category Isu Umum

Bangi 13 Mei 04:32 p.m | Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) menggesa pihak-pihak berkaitan agar menyelesaikan segera krisis di Perak yang sudah menjangkau tiga bulan. Krisis ini perlu diselesaikan dengan segera demi kebaikan semua pihak terutamanya rakyat.

Menurut Presidennya, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, krisis yang berpanjangan telah meninggalkan kesan yang negatif kepada rakyat, negeri dan Malaysia.

“Krisis di Perak tidak hanya memberi kesan kepada parti-parti politik tetapi yang menjadi mangsa ialah rakyat. Pembangunan di Perak akan terencat kerana krisis yang berpanjangan ini. Bahkan ianya turut memberi kesan kepada ekonomi sekiranya pelabur sudah tidak berasa selamat dengan krisis yang berpanjangan,” ujar beliau.

Setelah sekian lama krisis melanda Perak, semalam Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar Perak. Keputusan tersebut menyebabkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta exconya terpaksa mengosongkan pejabat bagi membolehkan Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin serta exconya meneruskan tugas mentadbir Perak.

Tidak sampai 24 jam, Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari tadi, peguam Datuk Seri Zambry Bad Kadir, Hafarizam Harun menggesa Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Datuk Seri Zambry kembali bertugas. Hal demikian menunjukkan tanda-tanda krisis ini akan semakin berpanjangan.

Persatuan paling berpengaruh di universiti tersebut juga menggesa krisis ini diselesaikan segera kerana melihat kesan-kesan negatif kepada beberapa aspek. antara aspek tersebut ialah demokrasi di malaysia sudah mula dipertikaikan, institusi Sultan turut menjadi mangsa, perpecahan masyarakat semakin parah terutamanya apabila isu perkauman dimainkan, sosiopolitik di perak semakin tidak stabil, ekonomi perak dan malaysia akan terkesan, pembangunan dan kemajuan perak akan terencat.

Di samping itu, beliau menyatakan juga bahawa krisis di Perak telah mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia.

“Peristiwa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak 7 Mei lalu sangat memalukan. Media seluruh dunia memaparkan sikap ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang seperti kebudak-budakan. Ianya seolah-olah sejarah yang tidak dapat dilupakan di Malaysia. Pemecatan dan perlantikan Speaker Dewan yang tidak mengikut prosedur sepatutnya, keselamatan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang terancam, dan kekecohan yang berpanjangan telah dipaparkan oleh media dalam dan luar negara,” tambah beliau.

Pengerusi Hal Ehwal Wanita (HELWA) ISIUKM, saudari Nur Atika Binti Omar turut melahirkan rasa dukacitanya terhadap apa yang berlaku di Perak.

“Rakyat tidak harus menjadi mangsa dalam krisis ini. Luahan mahasiswa bukanlah kerana emosi semata-mata, akan tetapi atas dasar simpati dan empati kepada rakyat dan negara,”ujar beliau.

Beliau juga berharap semua pihak menyedari hakikat ini dan menekankan bahawa krisis ini tidak harus dilihat memberikan kepada kesan parti-parti politik semata-mata, akan tetapi ianya perlu diselesaikan dengan segera demi keamanan dan kemakmuran yang diharapkan oleh semua pihak.-mahasiswakin

  • Share/Bookmark
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Spam Protection by WP-SpamFree