Penghijrahan Adun Bota Bukti Kerajaan Negeri Pertahan Hak Melayu

Friday, January 30, 2009 19:40
Posted in category Utama

untitledIPOH, 29 JAN - Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (Bersatu Perak) hari ini menjelaskan kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bota, Dato’ Nasarudin Hashim ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak tetap komited mempertahankan nasib orang Melayu.

Menurut Presidennya, Mohd Hafez Sabri tindakan tersebut juga melenyapkan segala dakwaan kononnya kerajaan negeri sekarang di bawah pimpinan Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mengikut telunjuk DAP.

“Apa yang berlaku menunjukkan beliau (Dato’ Nasaruddin) selesa dengan kerajaan negeri sekarang dan membuktikan kerajaan negeri prihatin terhadap nasib orang Melayu di Negeri Perak” jelas beliau.

“Kalau kerajaan negeri sekarang meminggirkan orang Melayu, mengapa beliau sanggup keluar UMNO dan menyertai PKR” tegas beliau lagi.

Menurut rekod, Dato’ Nasarudin yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Parit memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bota atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,068 undi.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau ditawarkan wang dan jawatan exco untuk menyertai Pakatan Rakyat, beliau menegaskan perkara tersebut tidak berlaku sama sekali.

“Ini kerana beliau sendiri (Dato’ Nasarudin) telah membuat pengakuan di hadapan Menteri Besar semalam mengenai niat dan keikhlasan beliau untuk menyertai Pakatan Rakyat” jelas beliau lagi.

Mengenai isu pemberian tanah hak milik kekal kepada rakyat yang didakwa hanya menguntungkan orang Cina, beliau sebaliknya menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada pihak kerajaan negeri.

Ini kerana jelas beliau pemberian tanah hak milik kekal tersebut bukan sahaja kepada penduduk Kampung Baharu, tetapi juga diberikan kepada penduduk Kampung Tersusun yang jumlah populasinya hampir seratus peratus orang Melayu.

“Menurut laporan daripada kerajaan negeri, jumlah keseluruhan Kampung Baharu di negeri ini hanya sekitar 134 buah, manakala jumlah keseluruhan Kampung Tersusun pula adalah mencecah 349 buah. Jadi secara peratusnya membuktikan pemberian tanah hak milik kekal ini lebih menguntungkan orang Melayu berbanding orang Cina dan India” tegas beliau lagi.

  • Share/Bookmark
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Spam Protection by WP-SpamFree